Kanak-kanak OKU Terima Bilik Terapi Sensori Sumbangan Dari RMHC Malaysia

3/12/2022 10:54:00 PM

Sebagai seorang ibu pastinya aku rasa sangat bersyukur jika ada pihak yang turut merasa kesusahan yang dirasa. Aku tidak meletakkan ini semua pada anak-anak aku tetapi pada kanak-kanak OKU. Kenapa? Ini kerana baru-baru ini pihak Ronald McDonald Malaysia telah menghadiahkan sebuah bilik terapi sensori kepada kanak-kanak OKU.

Bayangkan apa perasaan ibubapa kepada anak-anak istimewa ini, pastinya sangat bersyukur kerana ada pihak yang benar-benar mahu membantu memberikan peluang yang lebih baik terhadap anak mereka.

Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di A-Heart Universiti Malaysia Perlis sumbangan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald atau Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC Malaysia)

Majlis perasmian Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) yang ke 34 di Malaysia ini telah disempurnakan oleh DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizudin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

RMSR ini merupakan salah satu dari program RMHC Malaysia yang menyediakan bilik terapi deria dengan peralatan multi-sensori serba lengkap untuk merangsang deria-deria asas seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan dan menghidu bagi meningkatkan perkembangan kognitif dan keyakinan kanak-kanak berkeperluan khas dan mempunyai masalah pembelajaran. 

RMSR di A-Heart adalah merupakan sumbangan serta sokongan RMHC Malaysia kepada program pembangunan dan pembelajaran anak-anak berkeperluan khas di Negeri Perlis yang dijalankan oleh A-Heart di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Malaysia Perlis.  

Sehingga kini, RMHC telah membangunkan sebanyak 35 buah bilik terapi sensori di seluruh Malaysia, rangkaian bilik terapi sensori terbesar di Malaysia, dengan kos tajaan lebih dari RM3.7 juta yang telah memanfaatkan lebih dari 7,000 orang kanak-kanak istimewa, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tak hanya itu, majlis hari ini turut menyaksikan acara penyerahan bayaran zakat korporat oleh McDonald’s Malaysia kepada Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Zakat yang disumbangkan ini bernilai RM100,000 dan telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Azmir bin Jaafar kepada YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Bin Hj Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs.

Selain dari sumbangan zakat korporat, setiap tahun, dianggarkan lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan berjaya dianjurkan di bawah Program Komuniti McDonald’s dan RMHC melibatkan restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara.

Di antara program-program yang telah dilaksanakan adalah sumbangan pek makanan kepada petugas-petugas frontliner, warga emas di pusat-pusat jagaan orang tua di seluruh negara bersempena tahun baru cina dan tajaan moreh di masjid-masjid berdekatan dengan restoran McDonald’s di bulan Ramadhan nanti.

“Pelancaran RMSR pada hari ini melengkapkan rangkaian RMSR di seluruh negara dengan  terwujudnya RMSR di setiap negeri di Malaysia, menjadikan RMHC organisasi yang memiliki rangkaian bilik terapi sensori terbesar di Malaysia.  Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak A-Heart dan UniMAP bagi menyediakan kemudahan yang sangat diperlukan oleh kanak-kanak berkeperluan khas di Perlis ini,”  kata Dato’ Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia merangkap Presiden RMHC.

“Tajaan bilik terapi sensori ini juga dilengkapi dengan latihan untuk pelatih-pelatih kanak-kanak OKU ini agar mereka dapat memberikan perkhidmatan yang bersesuaian untuk kanak-kanak ini.”

“Sumbangan zakat korporat McDonald’s Malaysia ini merupakan tanggungjawab kami sebagai sebuah syarikat 100% entiti milik orang Islam dan tanda penghargaan kami kepada masyarakat atas sokongan kepada perniagaan kami walaupun ketika perintah kawalan pergerakan.”

Keperluan kanak-kanak OKU Perlis yang telah mendapat perhatian RMHC Malaysia dengan pelancaran Biik Terapi Sensori RMHC untuk golongan asnaf Perlis semestinya patut diberi pujian. Bukan senang lakukan perkara yang sebegini. Memerlukan masa dan banyak usaha dengan penat lelah ramai orang.

Sumbangan zakat korporat Mcdonald's Malaysia bernilai RM100,000 menambahkan lagi rasa syukur. Alhamdulillah.

You Might Also Like

1 comments

  1. Alhamdulillah, moga semua urusan yang memberi dan yang menerima dipermudahkan dan mendapat manfaat.

    ReplyDelete

Sudi-sudikanlah tinggalkan sebarang komen dan jejak anda di sini.. Terima kasih kerana sudi singgah ke sini..

Blog yang Diikuti