izzat

Penganugerahan Rambu Pengakap Negeri Kedah

10/29/2018 01:02:00 PM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Hari ini Eyda nak kongsikan mengenai pencapaian anak Eyda iaitu Izzat dalam kokurikulum.

Penerima Anugerah Rambu Daerah Kulim / Bandar Baharu




Alhamdulillah pada 17 Oktober 2018 baru-baru ini, Izzat antara 900 orang ahli pengakap Kedah telah pun menerima anugerah Rambu Pengakap Kanak-kanak dalam Majlis Istiadat Penganugerahan Anugerah Rambu Pengakap Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Farabi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

Izzat bersama rakan sekolah yang manjadi Penerima Rambu Kanak-Kanak

Tak sangka Eyda yang Izzat mampu mencapai kecemerlangan tertinggi dalam pengakap berdasarkan info yang Eyda ambil nih.


Pesuruhjaya Program Negeri, Badrul  Hisham Abdullah berkata, majlis berkenaan diadakan untuk memberi penghargaan atas pencapaian ahli pengakap yang memenuhi syarat kelayakan pemakaian rambu dan sijil di negeri ini.

Katanya, pihaknya ingin memberi  pengiktirafan kepada Pengakap Kanak- Kanak yang lulus lencana Emas, Pengakap Muda lulus lencana Jaya dan Pengakap Remaja lulus lencana Tertinggi.

"Anugerah Ketua Pengakap Negara, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri serta  Sijil Rambu Pengakap adalah anugerah kecemerlangan tertinggi dicapai seseorang ahli pengakap.

"Mereka akan diberi penghargaan itu setelah berjaya menyempurnakan semua  lencana kemajuan dan kepandaian serta memenuhi syarat berdasarkan Skim Latihan Pengakap Malaysia," katanya.

Menurutnya, anugerah berkenaan diharapkan membantu memberi perangsang  dan semangat kepada penerima dan rakan-rakan pengakap lain untuk terus maju dalam perkara dilakukan mereka.

Terdahulu, Majlis Istiadat Penganugerahan Anugerah Rambu Pengakap Peringkat Negeri Kedah dirasmikan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Aziz Selaiman.

Kredit gpsbestari

Tahniah Izzat dan kawan-kawan. Kamu dah tunjukkan bahawa kamu juga mampu berjaya dan aktif.

filem

Tayangan Perdana Filem Hunter Killer

10/25/2018 10:01:00 AM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Pada 23 Oktober 2018 yang lalu, Eyda mendapat jemputan untuk menyaksikan Tayangan Perdana Filem Hunter Killer yang berlangsung di GSC, Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Pulau Pinang.


Filem Hunter Killer ini merupakan filem penuh dengan pelbagai aksi dan babak yang mendebarkan. Filem ini dibintangi oleh pelakon hebat antaranya Gerard Butler, Gary Oldman, Common dan  Linda Cardellini.

 
Filem Hunter Killer ini berkisarkan mengenai Joe Glass yang ditugaskan sebagai kapten kapal selam Hunter Killer untuk menyiasat dan menjalankan misi mencari sebuah kapal selam Tampa Bay milik Amerika Syarikat yang telah hilang daripada radar ketika berada di Lautan Barents, di perairan Rusia.

Hasil pemantauan dan siasatan yang dijalankan, Joe Glass dan kru kapal selamnya mendapati kapal selam USS Tampa Bay tersebut telah diserang dengan torpedo oleh pihak Rusia. 

Malah dalam kejadian itu juga, Joe Glass mendapati ada sesuatu yang pelik berlaku kerana kapal selam Konek milik Rusia turut diserang seperti disabotaj.

Oleh itu, Joe Glass mengarahkan kru kapal selam untuk menyelamat kru kapal selam Rusia yang masih hidup untuk membantu mereka menyiasat mengenai kejadian tersebut.

Selain itu, pihak Amerika juga turut menghantar satu pasukan elit Amerika Syarikat Navy SEAL untuk menjadi pemerhati dan menyiasat di sekitar Pangkalan Angkatan Laut Rusia di Polyarny iaitu kawasan Teluk Kola, Rusia Utara.

Dalam tinjauan tersebut, mereka mendapati Presiden Rusia, Zakarin telah dijadikan tahanan oleh Menteri Pertahanan Rusia, Laksamana Dmitri Durov dan telah membunuh pengawal peribadi Presiden Rusia itu sendiri dalam usaha rampasan kuasa tanpa pengetahuan kerajaan Rusia.

Melalui maklumat ini, pihak Amerika Syarikat mengambil inisiatif untuk menjalankan misi menyelamat Presiden Zakarin seterusnya mengelakkan berlakunya Perang Dunia Ketiga.

Oleh yang demikian, Joe Glass bersama kru kapal selamnya bersama pasukan elit Navy SEAL diarahkan untuk berganding bahu dalam usaha menyelamat Presiden Rusia yang berada di Pangkalan Angkatan Laut Rusia, Polyarny.

Pelbagai ranjau yang perlu dilalui sepanjang perjalanan kapal selam Hunter Killer dan pasukan elit Navy SEAL dalam usaha menyelamat Presiden Zakarin. 

Dapatkah Joe Glass bersama kru kapal selam dan pasukan elit Navy SEAL menyelamatkan Presiden Rusia di Pangkalan Angkatan Laut Rusia, Polyarny?

Mampukah kapal selam Hunter Killer yang dinaiki Joe Glass bersama kru kapal selam melalui pelbagai alat senjata, periuk api dan pengesan sonar yang hebat? 

Adakah usaha Joe Glass dan pasukannya ini mendapat kerjasama yang baik daripada tentera laut Rusia dan kapten kapal selam Rusia, Kapten Adropov untuk membantu mereka dalam usaha menyelamatkan Presiden Rusia itu sendiri? 

Jom sama-sama kita saksikan filem yang penuh aksi dan babak yang mendebarkan selama 2 jam 2 minit ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 25 Oktober 2018.



Terima kasih Oneworld Alliance Film Sdn. Bhd. dan Ringotail kerana sudi menjemput Eyda untuk turut sama menyaksikan Tayangan Perdana Filem Hunter Killer ini.
 
kredit IG @ninvhmd
 
Bagi yang meminati filem aksi sebegini, anda mesti tonton filem ini. Kalau anda nak tahu, Eyda bagi 5/5 bintang untuk filem yang mantap ini. Tidak rugi anda menontonnya. Selamat menonton


fun run

USM - Mekarsari Pink October Fun Run 2018

10/19/2018 04:39:00 PM


Assalamulaikum dan selamat sejahtera semua. Alhamdulillah aktiviti sihat Eyda masih diteruskan walaupun adakalanya aktif dan kadangkala sedikit kurang. Apapun aktiviti ini masih diteruskan mengikut keadaan semasa.

Baru-baru ini Eyda ada sertai satu larian fun run sempena bulan kesedaran Kanser Payudara. Larian ini diadakan sebagai kesedaran dan sebagai penyuntik semangat buat pesakit kanser payudara malahan juga buat bekas pesakit payudara.

Larian ini diadakan di IPPT USM (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju) Universiti Sains Malaysia di Bertam, Kepala Batas Pulau Pinang dengan penaja bersama Mekarsari.


Acara larian ini dimulakan dengan aktiviti zumba seterusnya bermulalah acara larian fun run sejauh 5km.



Tapi Eyda dan kawan-kawan tak join pun zumba sebab takut sakit badan pula nanti.


Tidak ketinggalan bodyguard atau peneman jugak kami bawa bersama untuk memeriahkan suasana.



Aktiviti wajib mestilah selfie

Larian pada kali ini, Eyda mengambil keputusan untuk berlari secara santai memandangkan kaki Eyda tak berapa okay sebenarnya. Larian kali ini turut disertai oleh peserta orang kurang upaya (OKU). Agak ramai juga sekitar 10 orang.



Ada juga gambar Eyda yang sempat dirakamkan oleh jurukamera acara. Terima kasih Running Image di atas gambar ini.



 
Alhamdulillah Eyda akhirnya menamatkan larian dengan baik walaupun selepas sampai Eyda rasa hampir nak pitam. Eyda terpaksa duduk seketika sambil biarkan badan kembali okay. Sambil-sambil tu sempat rakamkan gambar sijil bersama medal yang diterima.



Acara diteruskan lagi dengan zumba. Kali ini dibuat di bawah khemah. Tapi Eyda tak join pun, sibuk snap gambar dan rehat jer.



Puas juga mencari nama sendiri, akhirnya jumpa juga. Nasib dia susun nama ikut abjad, kalau ikut nombor daftar, susah juga nak mencari nama sendiri.



Seterusnya upacara perasmian oleh YB. Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang.



Selesai upacara perasmian, acara diteruskan dengan pemberian sumbangan kerusi roda oleh YB. Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang kepada IPPT USM dan cabutan bertuah hadiah utama berupa sebuah motorsikal SYM.


Tidak ketinggalan pelari solo wanita iaitu Mejar (K) Suwaibah binti Mohd Nasir turut memeriahkan majlis tersebut.


Acara seterusnya Solidarity Walk oleh bekas pesakit kanser payudara dan juga peserta larian yang ingin turut sama meraikan.





Acara cabutan bertuah disambung lagi. Kali ini Eyda betul-betul tak sangka yang Eyda menjadi antara orang yang bertuah mendapat hadiah.

Eyda dapat membawa balik sebuah basikal. Nampaknya Eyda kena rajin-rajin berbasikal nampaknya. 


Apapun seronok kerana aktiviti kali ini Eyda buat bersama sahabat Eyda. Terima kasih Farah Fardini tolong tumpangkan basikal tu balik ke rumah.

Posing akhir sebelum bawa balik basikal

Eyda juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Mr Cheah di atas sumbangan hadiah basikal ini. Semoga Mr Cheah diberikan kesihatan yang baik dan bebas sepenuhnya daripada kanser.




Gambar kredit Running Image


Fernleaf UHT

Fernleaf UHT 100% Susu dari New Zealand

10/12/2018 06:56:00 PM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Siapa di sini merupakan penggemar susu? Susu jenis mana yang menjadi pilihan anda?

Kalau korang adalah seorang penggemar susu, kita memang geng. Eyda suka semua variasi jenis susu daripada jenis susu segar, susu penuh krim, rendah lemak, susu coklat dan juga pelbagai perisa yang lain.

Memandangkan korang juga antara penggemar susu, Eyda nak kongsikan info mengenai susu yang sememangnya terbaik dan diyakini bertahun-tahun lamanya.

SUSU FERNLEAF


Susu yang Eyda maksudkan ialah susu Fernleaf dari New Zealand. Ini kerana di New Zealand, mereka mengusahakan ladang secara semulajadi dengan memberikan kebebasan kepada lembu untuk meragut di padang rumput yang subur.

Hasil dari itu susu yang dihasilkan mempunyai sumber makanan semula jadi kaya dengan kalsium yang mudah diserap dan digunakan oleh tubuh badan. Ia juga mengandungi banyak nutrien penting lain seperti protein yang berkualiti tinggi, vitamin A dan juga vitamin D.


Lembu Tenusu dan Rumput

Untuk pengetahuan korang, tidak semua lembu tenusu diberi makan rumput segar.

Di New Zealand, ianya mempunyai tanah yang subur, kadar hujan yang baik dan menerima cahaya matahari yang mencukupi sehingga menjadikannya salah satu tempat yang terbaik di dunia dalam menghasilkan susu.

New Zealand merupakan salah satu negara yang mempunyai lembu tenusu yang boleh meragut rumput secara bebas tanpa dikurung di kandang. Ini kerana di sini rumput yang ada merupakan rumput yang berkualiti tinggi dan terbaik dari alam semula jadi agar lembu di sini dapat menghasilkan susu yang berkhasiat dan berkualiti tinggi.

Lembu di sini menghabiskan 90% masa untuk meragut rumput secara bebas di siang hari yang secara langsung lembu disini mendapat kandungan vitamin D yang sihat.

Oleh itu susu yang dihasilkan oleh lembu tenusu ini dapat menghasilkan susu dengan vitamin D yang tinggi berbanding lembu yang dikurung di dalam kandang.

Menghasilkan Susu Secara Semula Jadi



Susu yang dihasilkan oleh lembu tenusu di New Zealand sememangnya secara semula jadi tanpa menggunakan sebarang penggalak susu kerana adanya rumput yang berkualiti tinggi, iklim yang baik, udara dan air yang bersih.

Pakar Tenusu



New Zealand kini merupakan peneraju dunia dalam industri tenusu kerana warisan dan kepakarannya. Selain itu, mereka mempunyai pengalaman lebih daripada 140 tahun dalam perladangan tenusu. Peladang yang berdedikasi ini akan memastikan kualiti tertinggi pada setiap peringkat pengeluaran susu bermula daripada air yang bersih, rumput yang berkualiti tinggi sehinggalah produk sedia untuk diedarkan kepada pengguna.


Kalau korang nak tahu, Eyda dan anak-anak Eyda juga menyukai susu Fernleaf nih. Kami antara penggemar susu tak kiralah susu penuh krim, susu rendah lemak mahupun susu coklat.




Stok susu UHT memang sentiasa ada dalam simpanan. Ini kerana susu UHT lebih mudah dikendalikan dan mudah untuk penyimpanan.




Susu Fernleaf UHT ini di datangkan dalam tiga pilihan iaitu penuh krim, rendah lemak dan coklat. Ia boleh didapati dalam bentuk set 4 kotak 200ml dan juga pek 1 liter. Jadinya kita dapat memilih mengikut kesukaan kita sendiri.





Malahan banyak kebaikan susu buat tubuh badan kita termasuk menguatkan tulang dan gigi selain memelihara perut kerana ia bertindak sebagai anti-asid.

Jangan tak tahu, susu juga penuh dengan pelbagai nutrien yang bagus untuk memenuhi keperluan badan. Ia kaya dengan vitamin, kalsium, karbohidrat, magnesium, fosforus, kalium, protein, riboflavin dan zink. Wah lengkap untuk tubuh kita.


Blog yang Diikuti